BAB 3 ~ Lakaran Cinta Di Garis Waktu



BAB 3

HANIM membatu di katil bilik. Bayang Firash sudah lama menghilang. Usai lelaki itu menunaikan solat maghrib sebentar tadi, dia terus menghilangkan diri dari bilik. Bagus juga begitu! Hanim memang tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan Firash. Lebih-lebih lagi di dalam bilik yang berkatup rapat macam ni. Serba tidak kena jadinya.
Tok! Tok! Tok!
Kedengaran pintu bilik diketuk dari luar. Kepala Hanim laju saja tertoleh ke arah pintu bilik yang berkatup rapat. Tidak semena-menanya ada debaran yang menerjah ke hati. Siapa erk? Janganlah lelaki tu. Aku nak buat apa ni? Hati Hanim mula gundah-gulana. Tudung yang berada di hujung katil dicapai laju.
“Masuklah.”
Dengan dada berdebar-debar Hanim mengjawap. Sesaat pun matanya tidak berkelip dari merenung pintu bilik.
Kreeekkk...
Berkeriuk bunyi engsel pintu yang ditolak dari luar. Wajah Firash sudah menjadi tamu di matanya kini. Nampak kelat dan tegang saja. Terus dada Hanim berasa sesak. Apa kena dengan mamat ni. Tadi, okey aje? Tidak henti hati Hanim menduga.
“Ummi panggil makan,” ucap Firash sepatah. Matanya masih tajam merenung Hanim. Langsung tidak berkelip.
“Err... kejap lagi saya datang.” Hanim gugup.
“Jangan lambat sangat, semua orang dah tunggu tu.” suara Firash kedengaran tegang. Langsung tidak mesra.
Hanim hanya mengangguk perlahan.
Pintu bilik dikatup semula. Bayang Firash terus menghilang dari pandangan mata Hanim. Nafas yang rasa tersekat tadi, Hanim tarik dalam-dalam. Sumpah! Hanim benci dengan situasi dan keadaan ini.Tiba-tiba saja hatinya mendongkol geram kepada Zakhwan. Ini semua memang kerja gila! Kenapa harus dia dicampakkan ke dalam situasi sekarang ini? Salah dia juga. Kenapa lemah sangat dengan cinta manusia?


MAK CIK YUSNI perhatikan segala tingkah Hanim. Nampak lembut dan santun saja pada pandangan matanya. Tudung yang tersarung kemas di kepala Hanim itu jelas menunjukkan dia seorang muslimah yang baik. Yang tahu menjaga batas auratnya. Pertama kali melihat Hanim, hati tuanya sudah berkenan. Namun, cara Firash dan Hanim yang tergesa-gesa ingin berkahwin itu sedikit-sebanyak telah meresahkan hati tuanya. Perasaannya tetap berasa tidak tenang dan tenteram.
“Sudah-sudahlah tu Hanim. Tinggal aje dekat situ. Biar ummi yang basuh,” tegur MakCik Yusni dari meja makan. Sedari tadi hanya tinggal dia berdua dengan Hanim saja di ruang dapur rumah. Zana dan Zara, usai saja makan malam terus berlingkar depan  kaca TV. Firash pula, entah ke mana menghilang.
“Tak apa, ummi. Sikit aje lagi ni. Hanim dah biasa buat semua ni,” Jawap Hanim tanpa menoleh kepada MakCik Yusni. Kalau boleh dia memang mahu berlama di situ. Dia tidak mahu berdua-duaan dengan Firash di dalam bilik. Setiap kali dia berdepan dengan Firash, dadanyapasti terasa ketat.
“Ish, mana boleh. Pengantin baru kenalah berehat. Luangkan masa berdua,” usik Mak Cik Yusni. Bibirnya sudah terukir senyuman penuh makna.
Tangan Hanim yang tadinya lincah menggosok pinggan, terhenti. Liur diteguk sekali. Terasa kelat dan tersekat. Kalaulah ibu mentuanya tahu... Patutkah dia berterus-terang?
“Hanim, ummi rasa tak sedap hati,” luah Mak Cik Yusni perlahan apabila melihat tiada tanda-tanda Hanim mahu membalas gurauannya tadi. Biarlah dia berterus-terang. Rasanya lagi bagus kalau dia bertanya terus kepada Hanim daripada dia berteka-teki sendiri.
“Kenapa ummi?” dada Hanim mula berdebar-debar. Tangannya laju semula menyental pinggan.
“Hanim dengan Firash ada sorokkan sesuatu dari ummi, kan? Gerak hati seorang ibu tidak akan pernah menipu, Hanim. Itulah istimewanya seorang ibu. Bila ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya, naluri seorang ibu pasti akan dapat merasai. Ummi yakin, memang ada yang tidak kena dengan perkahwinan Hanim dengan Firash ni.” MakCik Yusni bangun dari kerusi. Perlahan dia menapak ke sebelah Hanim.
Hanim menelan liur lagi. Berpuluh kali dia menelan pun, liur tetap terasa penuh di kerongkong. Perasaan bersalah mula menebal di hati. Sungguh dia tidak mampu untuk berbohong dengan Mak Cik Yusni. Ibu mentuanya itu nampak terlalu baik orangnya.
“Ummi, Hanim minta maaf,” bibir dikemam rapat, cuba untuk melawan perasaan sebak yang semakin menebal di hati. Namun, air mata memang tidak mahu berpihak kepadanya. Tanpa segan-silu mutiara jernih tumpah, menghujani pipinya.
MakCik Yusni tergamam. Jadi betullah gerak hatinya? Ada sesuatu yang anak dan menantunya sembunyikan dari pengetahuan dia. Tapi apa?
“Apa dah jadi sebenarnya? Cuba cerita dengan ummi.” Kata Mak Cik Yusni lembut. Tangan Hanim yang masih dipenuhi buih sabun itu ditarik. Digenggam seeratnya.
Suara lembut Mak Cik Yusni itu terus meresap ke hati Hanim. Sumpah dia tidak sanggup mahu menipu ibu mentuanya itu. Rasa berdosa yang amat! Redup mata tua itu jelas menampakkan kerisauan. Sentuhan lembut Mak Cik Yusni di bahunya pula, jelas menggambarkan perasaan kasih dan sayang.
“Ummi... sebenarnya, Hanim dengan Firash tak pernah bercinta dan kami tak pernah merancang untuk berkahwin. Perkahwinan yang kami lalui sekarang ini hanya bersifat sementara saja ummi. Firash bersetuju untuk berkahwin dengan Hanim kerana mahu membalas budi Zakhwan.” Hanim berhenti seketika. Air mata makin melebat di pipinya.
“Uuu... Ummi tak faham?” berkerut dahi Mak Cik Yusni. Terkejut yang amat mendengar cerita daripada Hanim. Debaran di dadanya bagaikan dipalu-palu.
“Zakhwan minta Firash nikahi Hanim untuk tempoh tiga tahun dan selepas Zakhwan balik semula ke Malaysia nanti, Firash akan lepaskan Hanim,” tersekat-sekat suara Hanim.
Astarghfirullah hal azim...” Mak Cik Yusni pegang birai sinki. Tiba-tiba saja dia rasa macam nak tumbang. Sakit sangat rasa dadanya.
“Ya Allah, ummi...” Hanim papah MakCik Yusni ke kerusi meja makan, lalu didudukkan ibu mentuanya di situ. Hanim nampak ada mutiara jernih yang meluncur laju di pipi tua itu. Perasaannya semakin sarat dengan rasa berdosa. Ya Allah...
“Hanim tahu tak apa yang kau orang buat ni berdosa? Dosa besar! Kenapa mahu mempermainkan hukum agama? Penceraian, walaupun halal di sisi Allah, tetapi amat dibenci oleh-Nya. Dalam islam, tak ada istilah nikah sementara. Ummi kecewa dengan kamu berdua.”
Air mata makin lebat di pipi Mak Cik Yusni. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Tidak mampu langsung untuk dia bertentang mata dengan Hanim. Dia kecewa. Kecewa yang teramat sangat dengan sikap Hanim dan Firash. Macam mana mereka boleh buat keputusan bodoh macam sekarang ni? Kenapa sanggup menolak ketepi hukum-hakam agama?
“Ummi, maafkan Hanim,” bergetar suara Hanim. Tangan tua Mak Cik Yusni dicapai dan dicium berkali-kali. Dia benar-benar diburu perasaan bersalah.
Hati Mak Cik Yusni tersentuh dengan tingkah Hanim. Tapi, perasaan marah dan kecewanya masih berumah di hati.Dia sungguh-sungguh tidak menyangka, Hanim dan Firash sanggup memperjudikan maruah masing-masing. Sanggup mempermainkan agama.
“Hanim... Bukan minta maaf dengan ummi! Hanim patut minta maaf dan minta ampun dengan Allah. Apa yang Hanim dengan Firash buat sekarang ini salah. Berdosa! Bertaubatlah, Hanim.” tegas suara MakCik Yusni. Dia memang benar-benar marah. Rasanya dia sudah bagi pendidikan agama yang secukupnya kepada Firash. Tapi kenapa perkara macam ni boleh terjadi?
Air mata gugur setitis demi setitis di pipi Hanim. Mendengar saja perkataan ‘dosa’ membuat hatinya bergetar hebat. Ya Allah, apa yang aku dah buat ni? Hati Hanim tidak putus merintih.
“Apa yang Hanim patut buat, Ummi?” mata Hanim jatuh tepat pada mata ibu mentuanya.
Mak Cik Yusni terdiam. Lama juga dia begitu. Kecewa? Semestinya dia kecewa yang amat. Dia juga buntu saat ini. Dia sangkakan Hanim dengan Firash berkahwin kerana suka sama suka. Tetapi lain pula sebabnya. Memang tidak terjangkau dek akal tuanya.
“Hanim... Sekarang ni, perkahwinan Hanim dengan Firash memang sah di sisi agama. Ada kadinya, ada walinya, ada saksinya. Ummi pun tak ada dengar Firash sebut apa-apa tentang kontrak dalam akad tadi. Walaupun Hanim dan Firash berkahwin bukan atas dasar suka sama suka, tanggungjawab sebagai suami dan isteri itu tetap sama. Selagi Firash tidak melafazkan talak kepada Hanim, selagi itulah kamu berdua sah sebagai suami-isteri. Tidak kiralah dua tahun, tiga tahun atau berpuluh tahun lamanya. Selagi talak itu tidak dilafazkan, selagi itulah kamu berdua kekal sebagai suami-isteri,” lembut suara Mak Cik Yusni menjamah telinga Hanim. Terus Hanim tertunduk.
Melihat Hanim hanya diam tidak berkutik, dia menyambung lagi,
“Ummi harap... Lepas ni pandai-pandailah Hanim dengan Firash fikir. Perkahwinan bukan macam main pondok-pondok. Bila suka bina, bila tak suka roboh. Perkahwinan satu ikatan yang suci di sisi agama. Nabi pun suka bila umatnya berkahwin.  Ummi harap tak akan berlaku penceraian dalam rumah tangga Hanim dengan Firash ni. Solat taubat! Minta ampun dengan Allah. Janganlah kita cari murka Allah.”
Tangan Hanim digenggam seketika oleh MakCik Yusni. Lama juga matanya merenung diri Hanim. Kalau dilihat dari segi luarannya, Hanim nampak macam perempuan yang baik-baik saja. Pertama kali melihat diri Hanim, hati tuanya sudah terpaut.
“Hanim tak tahu Ummi...” Jawap Hanim lemah. Matanya masih berkaca. Wajah Firash dan Zakhwan datang silih berganti di ruang mata. Membuatkan jiwa semakin merana.
“Hanim... Perkara ni nampak macam ringan. Tapi amat berat sebenarnya. Hati Hanim pada lelaki lain, tetapi Hanim berkahwin dengan lelaki lain. Kalau seorang isteri menyimpan perasaan sebesar zarah pun pada lelaki lain sudah dikira berdosa besar, macam mana pula dengan kes Hanim ni?” Muka Mak Cik Yusni nampak keruh.
Air mata laju semula di pipi Hanim. Ya Allah! Bermakna dia sekarang ni berdosalah. Dia berkahwin dengan Firash tetapi hati dan cintanya hanya pada Zakhwan. Kenapalah dia terlalu jahil? Kenapa dia tidak pernah fikir baik-buruknya sebelum membuat keputusan? Hanim rasa dadanya macam hendak pecah. Menyesal pun sudah tidak berguna lagi. Perkara sudah terjadi. Sudahnya, dia hanya teresak-esak di situ.
“Dahlah tu... Jangan menangis lagi. Benda dah jadi. Yang penting, kita baiki mana yang silap. Ummi yakin, Hanim boleh buat keputusan yang terbaik. Kalau boleh pertahankan perkahwinan ini, pertahankanlah. Sudah tersurat jodoh Hanim dan Firash dengan cara macam ni.” Mak Cik Yusni mengusap bahu Hanim lembut.
“Maafkan Hanim... ummi, tolong rahsiakan perkara ni daripada pengetahuan orang lain, terutamanya mak. Hanim tak nak dia kecewa. Hanim akan cuba yang terbaik.” Bersungguh Hanim merayu kepada Mak Cik Yusni. Dia memang tidak sanggup melukakan hati Puan Rahmah. Wanita itu telah banyak berjasa kepadanya.
Mak Cik Yusni tersenyum kelat. Tangan Hanim digenggam erat sambil matanya tunak merenung ke dalam mata Hanim. Dia boleh nampak keikhlasan Hanim.
“Jangan risau... Ummi akan jaga rahsia ni. Tapi jangan lupa, Allah tahu apa yang terselindung. Mohon ampun dari DIA.”
Air mata melaju semula di pipi Hanim. Allah, terasa diri jahil yang amat.
“Sudahlah tu... Pergilah masuk bilik. Rash dah lama tunggu dekat dalam bilik tu.”
Hanim sapu air mata yang makin melaju di pipi. Dadanya terasa semakin sesak. Entah kenapa setiap kali nama Firash menyapa di telinganya, setiap kali itu jugalah jantungnya bergetar hebat. Dulu tak macam tu pun!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan