Setiaku Milikmu- Bab 5



BAB 5

KERETA Produa Viva yang dipandu oleh Sara itu meluncur dengan tenang di atas jalan raya yang agak kurang sibuk pada pagi itu. Sara memandu dengan begitu cermat dan berhati-hati. Sesekali kecut juga perutnya apabila berselisih dengan kenderaan yang lebih besar seperti lori balak dan kontena. Maklumlah, dia baru sahaja mendapat lesen. Masih belum begitu cekap memandu.
Sungguhpun begitu, Sara cekalkan juga hatinya. Dia tahu, dia tidak boleh bergantung harap pada sesiapa pun sekarang ini melainkan berdikari sendiri. Perjalanan daripada Kuantan ke Pekan terasa begitu lama oleh Sara kerana dia memandu dengan terlalu perlahan. ‘Biarlah lambat, asalkan aku selamat’ desis Sara sendiri.

TEPAT pukul 11.00 pagi, Sara selamat sampai di perkarangan bangunan UMP. Setelah dia parkir keretanya dengan betul, dia terus bergegas ke pusat pendidikan luar UMP untuk melaporkan diri. Bimbang pula kalau-kalau dia terlewat nanti.
Kelihatan orang ramai telah memenuhi dewan tersebut. Rata-rata mereka terdiri daripada bakal mahasiswa dan mahasiswi yang ditemani oleh ibu bapa dan keluarga masing-masing. Hati Sara tiba-tiba dipagut hiba. Kalaulah ibu bapanya masih ada, tentu mereka berasa bangga dengan pencapaian Sara sekarang ini.
 Dengan penuh yakin Sara mencelah di antara ribuan manusia yang berada disitu.

SATU jam kemudian, urusan pendaftaran telah pun selesai. Sara diwajibkan untuk menginap di kolej kediaman siswi. Di sana, Sara telah ditempatkan satu bilik dengan seorang mahasiswi yang lain.
Pintu bilik ditolak perlahan oleh Sara. Sebaik sahaja pintu terbuka, kelihatan seorang pelajar perempuan sedang sibuk menyusun baju ke dalam almari pakaian yang telah disediakan oleh pihak asrama.
“Assalamualaikum..” Salam diberi. Sara masih berdiri tegap di muka pintu.
“Waalaikummussalam..” Pelajar perempuan itu terus menoleh sambil menjawap salam Sara. Mereka berbalas senyuman untuk seketika.
“Masuklah!” Pelawa pelajar perempuan itu, ramah.
Sara tersenyum manis. Langkah diatur penuh sopan, menapak masuk ke dalam bilik.
“Saya Sara.. Sara Dhia.” Tangan dihulur untuk bersalaman dengan pelajar perempuan itu. Walaupun terasa sedikit kekok, Sara cuba sedayanya untuk nampak peramah.
 “Saya Sazwani. Awak boleh panggil Wani sahaja..”
Mereka berjabat tangan dengan mesra. Sara menarik nafas lega. Nampak gaya, teman sebiliknya bukanlah seorang yang sombong. Pada mulanya tadi, Sara takut-takut juga. Bimbang kalau-kalau teman sebiliknya seorang yang menjengkelkan. Ternyata tanggapannya meleset sama sekali. Dalam diam Sara memanjat syukur.
“Ehh, kenapa tercegat lagi tu? Marilah duduk.” Wani menepuk-nepuk tilamnya. Senyuman masih tersunggil di bibirnya.
“Awak ada masalah tak, kalau saya ambil katil yang ni? Sebenarnya saya tak suka katil tepi tingkap..” Wani cuba beramah-ramah dengan Sara.
“Eh, tak apa! Saya tak kisah. Mana-mana pun boleh.. Lagipun, awak yang sampai dulu kan? Bak kat pepatah tu, siapa cepat dia dapat.” Jawab Sara sambil tersengih kecil.
Wani ketawa kecil.
Sara kemudiannya berlalu ke katilnya. Tingkap di sebelah katil dibuka luas. Angin yang menyerbu masuk, terasa sedikit nyaman dan menyegarkan.
“Aik, ini saja ker barangnya?” Dahi Wani berkerut merenung barang yang dibawa oleh Sara. Cuma sebuah beg sandang kecil. Sedangkan dia pula, membawa empat buah beg sandang yang besar-besar semuanya. Itu belum lagi termasuk dengan barang-barang yang lain.
Sara cuma tersenyum manis. Beg sandang yang tersangkut di bahunya itu diletakkan perlahan di atas katil. Kemudian, tangannya lincah menari di kepala. Pin-pin kecil yang tersepit di tudung bawal berwarna kuning air yang tersarung kemas di kepalanya itu ditanggalkan satu persatu.
Wani perhatikan segala tingkah Sara dengan penuh minat. Dalam diam terselit perasaan kagum. Tingkah Sara nampak begitu lembut dan sempurna di mata Wani. Apabila tertanggal sahaja tudung daripada kepala Sara, rambutnya yang lurus separas bawah bahu itu terurai lembut jatuh ke bawah. Tersangatlah cantik!
Wani terpegun! Matanya tidak berkelip, seakan terpukau dengan keayuan Sara. Wajah mulus Sara sungguh mendamaikan setiap mata yang memandang.
“Kenapa tengok saya macam tu?” Dahi Sara sedikit berkerut. Rasa kurang selesa pula bila Wani dari tadi asyik merenung dia tanpa berkelip. ‘Ish, kenapa pulak ni? Ada yang tak kena ker dengan muka aku ni?’ Spontan tangan naik meraba muka.
“Awak ni cantik sangat!” Luah Wani jujur.
“Hah? Ish, jangan puji saya macam tu. Nanti seminggu saya tak mandi! Awak jugak yang susah..” Sara ketawa kecil. Tudung yang ditanggalkan tadi dilipat kemas.
 “Gelak pulak dia! Betullah ni. Ingat orang main-main ker?” Wani serius. Muka Sara tidak lepas-lepas daripada renungannya.
“ Ish... dah lah, mengarut jer!!”
“Awak ambil bidang apa?” Soal Sara cuba mengubah topik perbualan. Dia cukup tidak gemar bercakap berkisarkan tentang dirinya.
“Urrmm.. pengurusan. Awak pulak bidang apa?”
“Ehh, samalah kita. Mintak-mintak dapat satu kelas kan?” Sara sedikit teruja. Kalau betul dapat duduk satu kelas dengan Wani, tak adalah dia sorang-sorang nanti. Sara memang pemalu sikit. Susah nak bertegur sapa dengan orang yang dia tidak kenal.
Wani tersenyum simpul.
“Sara, awak asal mana?”
“Terengganu... ehh, tak!! Pahang.. hee..” Sara tersenyum kelat. ‘Macam manalah aku boleh tersasul ni.’ Tangan mula menggaru kepala.
“Awak, mana satu ni. Terengganu ker Pahang?” Wani turut garu kepala. Muka Sara direnung dengan kening yang hampir bertangkup.
“Emm, Okey! Mak dan ayah saya berasal daripada Terengganu. Tapi sekarang ni saya sudah menetap di Kuantan, bersama dengan abang saya. Mak dengan ayah saya dah lama meninggal.” Sara tersenyum kecil. Dalam hati mula rasa bersalah pada Wani kerana terpaksa memulakan persahabatan mereka dengan satu pembohongan.
“Ohh, saya mintak maaf Sara.” Suara Wani mengendur, berbaur rasa bersalah. Mukanya tiba-tiba saja berubah riak jadi mendung. Tangan Sara digenggam erat.
“Eh, takpe! Saya dah biasa. Mak dengan ayah saya memang dah lama meninggal. Masa saya kecil lagi. Tak payah rasa bersalah okey.” Genggaman tangan Wani Sara balas mesra. Senyuman ikhlas terukir di bibirnya.
Wani tersenyum kelat. Suasana senyap seketika.
“Awak pulak asal mana?” Giliran Sara pula menyoal.
“Saya asal utara. Kedah mai naa..” Sara ketawa sebaik saja mendengar loghat kedah yang terbit dari mulut Wani. Bukan loghat itu yang kelakar sebenarnya. Tetapi mimik muka Wani itu yang mencuit hatinya. Sampai berair-air mata Sara ketawa.
Rasanya sudah agak lama dia tidak berbual mesra dan bergelak ketawa seperti itu. Selama berada di rumah Adam, hanya dinding dan televisyen yang menjadi peneman setianya. Sungguh, dia bosan!
Jika di kampung dulu, dia selalu berbual-bual dan bergelak ketawa dengan sahabat baiknya Suria. Tetapi semenjak dia dibawa oleh Adam ke Kuantan, mereka terus terputus hubungan. Rindunya pada Suria hanya Allah sahaja yang tahu. Entah, bilalah mereka dapat bertemu semula.
“Gelak tu, gelak jugak! Ini saja ker barang awak?” Dahi Wani naik berkerut.
“Ada lagi sebenarnya, dekat dalam kereta. Nak tolong ker?” Kening Sara menari rancak. Senyuman mula menguntum di bibirnya. Niat Sara hanyalah mahu bergurau dengan Wani.
“Ehh, boleh sangat! Tapi, awak kena bawak saya jalan-jalan pusing satu Bandar Kuantan ni dengan kereta awak.. boleh?” Wani tersengih lebar. Jelas terserlah barisan gigi putihnya yang tersusun rapi.
“Alah, kacang jer tu! Bukan setakat Bandar Kuantan, satu Negeri Pahang ni saya bawak! Apa tunggu lagi, jomlah!” Sara sudah tersengih memandang Wani. Wani mencebikkan bibirnya, kemudian ketawa mereka pecah serentak.

HARI itu, seharian mereka menghabiskan masa dengan mengemas dan menghias bilik disamping berkongsi cerita. Namun, Sara sedaya upaya cuba menjaga rahsianya. Dia lebih suka mendengar kisah hidup Wani daripada becerita tentang dirinya. Pesan Adam sentiasa menari-nari di ingatannya. Jangan bocorkan rahsia mereka kepada sesiapa pun!
“Arrrgh, penatnya!” Sara merebahkan tubuhnya di atas tilam yang sudah berlapik cadar. Nampak kemas dan selesa untuk tidur.
“Wani, esok dah start minggu orientasi kan? Agak-agaknya lah, teruk tak kita kena buli nanti?” Sara cuba membayangkan apa yang bakal mereka lalui pada esok hari dan hari-hari yang seterusnya di sepanjang minggu orientasi berlangsung.
“Entahlah! Tapi, kalau ada senior lelaki yang handsome okey jugak kan? Boleh kita cuci mata..” Wani ketawa nakal.
 “Ke situ pulak!!” Sara tersenyum lebar mendengar gurauan Wani. Boleh tahan gatalnya minah Kedah ni! Belum apa-apa lagi dah fikir pasal lelaki.

MALAM itu Sara tidak dapat melelapkan matanya walau sepicing pun. Sekejap dia berkalih ke kanan, kemudian dia berkalih semula ke kiri. Wani pula, sudah lama dibuai mimpi. Agaknya terlalu penat kerana seharian mereka mengemas. Sara juga agak kepenatan sebenarnya. Tetapi entah kenapa matanya begitu payah untuk lena. Mungkin juga kerana dia telah beralih tempat tidur. Ataupun, hati dia resah sebenarnya?
Sara merenung jam di pergelangan tangannya. Cahaya lampu jalan yang samar-samar memantul di tingkap sebelah katilnya membolehkan dia melihat jam di tangannya. Sudah pukul sebelas malam. Matanya masih jua belum dapat dilelapkan. Pusat ingatanya kini mula tertumpu pada seseorang. ‘Hishhh, kenapa aku ingat dekat dia pulak ni? Patutnya aku kena belajar untuk melupakan dia.’
Sara menghela nafas panjang, cuba mencari jawapan kepada persoalan yang sedang bermain di benaknya sekarang. ‘Rindukah aku? Atau takutkah aku kerana keluar rumah tanpa izin dia? Ampunilah Ya Allah, segala dosa-dosaku.’

SEMENTARA itu, Adam sudah sampai di perkarangan banglo dua tingkat miliknya. Dahi naik berkerut. Adam berasa pelik melihat keadaan rumah yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Pada kebiasaannya, Sara masih belum tidur pada waktu-waktu begini. Kalaupun Sara sudah tidur, mesti ada satu lampu yang dipasang bagi menerangi rumah besar itu. Hati Adam mula disapa resah. ‘Apa dah jadi ni?!’
Secepat kilat Adam keluar daripada perut kereta BMW miliknya. Dengan tergesa-gesa pula dia melangkah ke pintu dan memulas tombol pintu. Berkunci!
Saku seluarnya diseluk laju. Tangan menggagar rata pada kocek seluar, mencari kunci pendua. Tatkala pintu utama terbuka luas, hanya kegelapan yang menyambut kepulangannya. Laju tangan Adam mencari suis lampu.
Sesaat kemudian, cahaya lampu kalimantang menerangi segenap ruang tamu yang tadinya gelap gelita. Suasana di dalam rumah masih sunyi dan sepi. Seolah tiada penghuni yang menginap di situ.
“ Sara!”
 Panggil Adam perlahan. Namun suasana di dalam rumah itu masih juga sepi. Panggilannya tidak bersambut.
“ Sara!!”
Kali ini Adam menjerit sedikit kuat. Namun tetap juga sama. Masih sepi! Dahi adam mula berlipat rapat. Tanpa menunggu dengan lebih lama Adam terus berlari, mendaki anak tangga satu persatu. Sebaik sahaja sampai di hadapan pintu bilik tidur Sara, dia berhenti seketika disitu.
Hatinya kembali resah. Bilik Sara juga gelap tanpa sebarang cahaya. Dengan hati yang berdebar dan sedikit teragak-agak dia memulas tombol pintu. Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, laju tangan Adam mencari suis lampu.
Dahinya semakin berkerut tatkala lampu terpasang. Kosong! ‘Mana dia pergi! Takkan dah lari tinggalkan aku?’ Adam mengeluh kecil.
Punggung dihenyak laju ke atas tilam empuk kepunyaan Sara. Hati semakin berlagu resah. Bermacam rasa mula menyerang ulu hatinya. ‘Mana kau pergi ni Sara?’ Hati merintih tidak henti.  Bibir pula diketap rapat.
Adam meraup mukanya berkali-kali, cuba untuk bertenang. Dia tidak mampu berfikir dengan waras lagi saat ini. Dalam keresahan yang mencengkam di hatinya kala itu, tiba-tiba matanya terarah tepat pada meja solek Sara. Adam mengecilkan matanya, cuba fokus pada objek putih yang terletak kemas di atas meja solek itu.
Tanpa menunggu lama, dia terus bangun dan berjalan ke arah meja solek. Sekeping kertas putih yang ditindih kemas dengan sebatang pen ditarik laju. Mata terus berlari pada bait-bait ayat yang tercoret di atas kertas itu.
Adam,
Saya mintak maaf sebab pergi tanpa mendapakant keizinan daripada awak.. Saya cuba nak bagitahu awak, tapi saya tak tahu macam mana nak cari awak. Saya tak ada nombor telefon awak. Alamat pejabat awak juga saya tidak tahu.
Awak jangan risau! Saya sekarang berada di UMP. Nanti kalau ada masa saya balik!
-Sara-
Nota ringkas daripada Sara itu direnung lama oleh Adam. Hatinya berasa sedikit lega apabila mengetahui Sara selamat. Namun, entah mengapa tiba-tiba jiwanya terasa kosong. Menyedari bahawa Sara sudah berada jauh darinya sekarang membuatkan dia berasa serba tidak kena. Walaupun jarak di antara mereka bukanlah jauh sangat sebenarnya. Tetapi dia tetap  terasa kehilangan. Betulkah Adam?
 Perasaan rindu pada Sara datang membuak-buak. Terasa ingin sekali dia menatap wajah cantik Sara. Memeluk tubuh hangat Sara dan merenung sepasang mata bundar milik Sara. Argghh! Sungguh, Adam gila.
Perasaan yang mengasak ganas itu menyebabkan dada Adam sesak. Terasa seperti hendak pecah. ‘Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa macam ni? Hishh, apa kena dengan kau ni Adam?! Baru seminggu kau tak jumpa dia, kau dah jadi macam ni!’   

1 ulasan: