Bab 5 ~ Lakaran Cinta Di Garis Waktu



BAB 5

AAUUCCHH..”
Hanim terjerit kecil. Kuat pula tangannya menggenggam tangan Firash.
“Sakit ke?” Mata Hanim yang nampak berkaca itu direnung dengan riak risau. Genggaman tangan Hanim dibalas erat. Entah kenapa, setiap kali Firash nampak Hanim kerutkan dahi, seolah-olah kesakitan itu turut terpalit kepada dia juga.
“Sakit...” Rengek Hanim dengan suara yang hampir-hampir mahu menangis.
“Perlahan sikit, Mak Temah.” Tegur Firash. Tidak sampai hati dia tengok mata Hanim yang berkaca-kaca itu. Jelas muka dia menampakkan kerisauan.
“Allah, dah habis perlahan dah ni Rash, oii... Tahanlah sikit, Hanim. Urat kamu ni bengkak sangat dah.” Omel Mak Temah sambil mengurut-urut buku lali Hanim.
Mak Cik Yusni yang sedari tadi menjadi pemerhati dari muka pintu bilik, hanya tersenyum-senyum. Nampak sangat sudah ada benih-benih bunga yang tumbuh di hati anak bujangnya itu. Tidak pernah dia tengok Firash begitu sebelum ini. Selalunya, tayang muka tanpa perasaan saja bila berdepan dengan mana-mana perempuan.
“Awak... Tahan sikit, ya,” pujuk Firash sambil meramas lembut jemari Hanim. Kalaulah dia boleh tukar tempat dengan Hanim... Tidak sanggup rasanya dia melihat Hanim menahan sakit begitu. Biarlah dia saja yang tanggung. Aik, kenapa ni, Rash? Lain macam saja.
“Cuba bangun, berdiri.” Arah Mak Temah setelah dia selesai mengurut Hanim.
Tiga pasang mata kini tertancap penuh kepada Hanim.
“Along, bantu Hanim berdiri. Mak Temah nak tengok tu.” Mak Cik Yusni yang berdiri di muka pintu bilik tiba-tiba saja menyampuk.
Firash pegang tangan Hanim.
“Jom...” bisiknya perlahan. Kaki Hanim dijatuhkan ke lantai dengan berhati-hati.
Hanim gagahkan juga dirinya untuk berdiri. Okey! Tak adalah sakit macam malam tadi. Tapi, rasanya masih belum mampu untuk dia menapak.
“Cuba berjalan,” giat Mak Temah lagi.
Hanim nampak teragak-agak untuk menapak. Takut tidak tertahan pula rasa sakitnya nanti.
“Awak... cuba berjalan,” pujuk Firash lembut. Redup saja matanya menikam ke mata Hanim. Tangan Hanim digenggam kuat, memberi kekuatan.
Hanim mengangguk perlahan. Digagahkan juga dirinya untuk menapak perlahan-lahan. Sesekali dahinya berkerut menahan rasa sakit. Namun, tidaklah sesakit malam tadi. Pandai juga Mak Temah ni mengurut.
“Dah okey sikit Mak Temah,” ucap Hanim sambil tersenyum kecil.
“Haa... Eloklah, tu. Malam nanti kamu sapu minyak panas, Rash. Benda-benda sejuk kena pantang dulu. Jangan dimakan! Kalau dah tak ada apa-apa, Mak Temah balik dululah. Pagi esok Mak Temah datang lagi.” Laju saja orang tua itu bingkas berdiri dari katil.
“Esok? Tapi, petang ni saya dah kena balik Kuantan, Mak Temah. Esok saya dah mula kerja.” Hanim kerut dahi.
“Ish, nak kerja macam mana kalau jalan pun tak betul. Pagi esok kena berurut lagi. Seeloknya tiga kali. Tapi kalau kamu memang tak boleh nak tunggu, besok kena urut juga sekali lagi.” Beg kain yang dibawa bersamanya tadi, Mak Temah sangkut ke bahu.
“Aah... Hanim. Kena berurut lagi kaki tu. Takkan sekejap sangat kamu berdua ni cuti?” Mak Cik Yusni yang tadinya diam, tiba-tiba menyampuk. Naik berkerut juga dahinya.
“Errr...” Hanim pandang muka Firash.
“Ummi, along sebenarnya tak ambil cuti lama. Sebab ada banyak kerja sangat dekat pejabat tu. Along simpan cuti untuk pergi honeymoon nanti. Sebab itulah, along tak bercuti lama.”Jawapan Firash itu mampu melegakan hati gusar Hanim.
“Hmmm... kalau macam tu, mintalah cuti sehari lagi.” Putus Mak Cik Yusni.
Hanim senyap. Matanya dikerlingkan kepada Firash yang sedang memimpinnya. Firash cuma beriak biasa. Tidak membantah, tidak pula setuju. Sukar untuk Hanim menduga apa yang sedang bermukim di hati lelaki itu saat ini.
“Mak Temah balik dululah.” Kaki terus diayun meninggalkan bilik Firash. Mak Cik Yusni menurut dari belakang.
“Rash... Maafkan saya sebab dah susahkan awak?” Hanim telan liur. Rasa bersalah kepada Firash datang bertimpa-timpa. Baru sehari mereka bergelar suami-isteri, dah jadi macam ni.
“Syyhh... Apa cakap macam tu. Awak tanggungjawab saya. Ingat, tu!”
“Tapi...”
“Tak ada, tapi-tapinya! Hanim... tempoh tiga tahun tu bukannya lama sangat. Saya nak kita cipta satu kenangan yang  indah dalam perkahwinan kita ni. Awak dan saya... Kita sama-sama cipta. Mungkin lepas ni, awak bukan milik saya lagi. Dan saya, mungkin tidak akan berkahwin dengan mana-mana perempuan lain lagi. Cukuplah hanya awak yang pertama dan terakhir. Andai ada kenangan indah bersama awak, itu sudah cukup untuk saya teruskan hidup. Jadi, tolonglah bagi saya peluang untuk jalankan tanggungjawab saya sebagai suami awak.” Firash tersenyum kelat. Tangan mereka masih utuh bertaut.
Hanim tunduk kepala. Kenapa rasa sebak ni? Hatinya tidak henti-henti mengulang ayat Firash yang satu itu. Apa maksud dia? Cukuplah Hanim menjadi yang pertama dan terakhir? Apa maksud kata-kata Firash tadi tu?
“Dahlah... Rehat dulu. Sekejap lagi kita pergi klinik minta MC, ya?” pujuk Firash.
“Awak macam mana?” Teduh muka Hanim. Disebabkan dia, tidak fasal-fasal Firash pun kena bercuti panjang. Sungguh dia rasa bersalah.
“Saya akan telefon bos saya nanti. Jangan risau.” Firash tersenyum lembut, membuatkan perasaan Hanim sedikit lega.


ANGIN petang terasa nyaman menyapa muka. Sesekali Hanim menyelak helaian rambutnya yang jatuh terjuntai menutupi mata. Sedari tadi dia duduk di pangkin kayu yang terletak di halaman rumah. Mata ralit perhatikan gelagat adik-adik iparnya yang sedang berusaha keras mengait buah rambutan di hujung laman, sambil tersenyum senang.
Rasa macam tengah bermimpi  saja. Dalam sekelip mata dia sudah ada suami, adik-adik dan ummi. Dalam sekelip mata juga, dia sudah mempunyai sebuah keluarga yang besar dan bahagia. Pelik. Tapi itulah kenyataannya.
Perasaan Hanim? Tentulah terharu dan teruja. Dari kecil dia dibesarkan di rumah Perlindungan Kasih. Tidak pernah berayah dan beribu. Apatah lagi, adik-beradik. Sekarang,  dia sudah ada semuanya. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaannya tika ini.
 Tapi, bila teringat kembali dengan siapa dia berkahwin. Bagaimana caranya dia berkahwin. Semua itu mengundang perasaan sebak di jiwa. Sepatutnya dia berkahwin dengan lelaki yang sedang bertakhta di hatinya kini. Bukan dengan lalaki asing! Kenapa mesti ada manusia seperti Zakhwan yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain? Sungguh pedih rasa hatinya.
“Jauh termenung?” Lembut suara menyapa. Serentak dengan itu juga, sehelai selendang sudah mendarat kemas di kepalanya.
Hanim terjeda. Wajah Firash terus menjamah mata. Terus debaran di dadanya terasa menggila. Senyuman lembut dan sorotan mata redup milik Firash itu benar-benar meresahkan jiwanya.
“Dekat luar ni biasa petang-petang macam ni ada ramai orang lalu-lalang. Saya tak nak nanti ada lelaki lain yang nampak aurat isteri saya. Takut tak terpikul dosa.” Firash kenyit mata sambil tangannya ralit betulkan selendang di kepala Hanim.
Hanim terkedu. Rasa tidak tertelan air liur di kerongkong. Terharu. Sebak. Semuanya ada.
“Err... Maaf,” hampir tidak terkeluar suaranya. Tersedar tentang kealpaan diri sendiri membuatkan dia berasa segan berdepan dengan Firash sekarang ini.
“Tak apa. Kita sama-sama belajar.” Firash usap kepala Hanim lembut.
Tertunduk Hanim. Kolam matanya mula rasa berkaca. Kenapa lelaki di hadapan dia ini sempurna sangat? Kenapa hatinya mula rasa sesuatu?
“Alongggg... Janganlah sweet sangat! Kami cemburu tau!” laungan Zana dari bawah pokok rambutan di hujung halaman rumah itu menyentap perasaan mereka.
“Aah... Along. Kami cemburu.” Zara mengiyakan. Tangannya licah memungut buah rambutan yang dikait oleh Zana, tapi mata tidak lepas dari memandang ke arah Firash dan Hanim.
Tersengih kecil Firash. Budak berdua tu memang selalu kenakan dia.
Hanim pula, muka sudah bertukar merah. Malu bila diusik begitu oleh adik-adik iparnya.
“Esok lepas mengurut kita balik Kuantan, ya. Lusa saya dah mula kerja.” Firash menampar lengan kanannya. Seekor nyamuk sudah terpenyek di tapak tangannya. Usikan adik-adiknya tadi tidak dibalas. Tahu sangat perangai pasangan kembar tu. Makin dilayan, makin menjadi-jadi.
“Owh, okey. Nanti awak tolong hantarkan saya ke rumah, ya?”
“Rumah mana?” soal Firash tenang. Tangan naik menggaru pipi pula. Banyak betul nyamuk sesat!
“Rumah sayalah!” Hanim renung mata Firash dalam-dalam.
“Rumah awak?”
“Tempat awak sekarang di sisi saya tau!” Kening Firash sudah menari-nari. Bibir pula menguntum senyum. Saja mahu mengusik Hanim.
Gulp! Hanim telan liur. Lama dia terdiam. Diserbu perasaan serba-salah.
“Rash... Boleh tak awak izinkan saya tinggal di rumah sewa saya sekarang ni? Secara jujurnya saya perlukan masa untuk terima semua ni. Pernikahan kita ni berlaku dengan tiba-tiba saja. Awak tahukan?” lemah suara Hanim. Bayang Zakhwan terus menari di ruang mata. Ada rasa rindu yang menghimpit di dada. Namun, cepat pula dia tersedar. Astarghfirullah hal azim.. Ya Allah, berdosakah aku? Hatinya tiba-tiba dilanda perasaan takut.
Firash diam. Pandangannya jatuh lurus pada pokok bunga kemboja yang ditanam di tepi pagar rumah. Riak muka yang tadinya tenang, tiba-tiba disapa awan mendung.
“Awak masih cintakan dia?” Matanya bertembung tepat dengan anak mata Hanim.
Terus Hanim tundukkan wajah. Setiap kali mata jernih Firash bertembung dengan anak matanya, perasaan bersalah seringkali membelit di jiwa. Sampai bila?
“Pernikahan ini tak sepatutnya berlaku.” Ada nada sesal dalam suara Firash. Dia tahu cinta Zakhwan masih utuh di hati Hanim. Mungkin akan selamanya begitu. Kenapa hati dia rasa sakit? Padahal dia sedar semua itu sebelum meraka diijabkabul lagi. Kenapa sekarang baru dia kisah? Sungguh dia tidak faham dengan dirinya sendiri.
Laju Hanim menoleh.
“Awak menyesal?” teduh kening Hanim.
Firash diam lagi. Lama mereka begitu. Angin petang yang bertiup tenang sedari tadi tiba-tiba saja terasa panas menyapa muka. Tidak setenang dan sedamai tadi lagi.
“Saya naik dulu. Nanti kalau awak nak naik ke atas rumah, panggil saya.” Firash sudah bangkit dari pangkin kayu.
Belum pun sempat dia melangkah, lengan kanannya dipegang kuat. Membuatkan langkah kakinya terus mati.
“Ada apa lagi?” Suara tegang Firash menjamah telinga Hanim.
Gulp! Hanim telan liur. Cepat benar mood lelaki ini berubah. Hanim cekalkan hatinya untuk bersuara.
“Rash... Saya minta maaf. Seperti kata awak malam tadi. Tiga tahun bukanlah satu jangka masa yang lama untuk kita. Pejam-celik, pejam-celik... hari silih berganti. Selama tempoh tiga tahun ni, saya juga mahu mencipta kenangan manis bersama awak. Saya mahu mengenali diri awak bukan sebagai kekasih, tetapi sebagai suami. Mungkin selepas tempoh tiga tahun nanti, kita tidak akan bersua lagi. Sekurangnya waktu itu, saya masih ada sedikit kenangan yang boleh mengingatkan saya pada awak.  Kita akan cuba cipta sebanyak mungkin kenangan indah yang kita mampu. Tapi, bagi saya sikit masa. Semua ni terlalu pantas bagi saya.” Hanim kemam bibir. Sebutir mutiara jernih jatuh meluncur di pipi mulusnya.
Firash terjeda.
“Tolonglah, Hanim. Jangan biarkan air mata awak gugur lagi di hadapan mata saya. Setiap kali melihat air mata awak gugur, setiap kali itulah saya rasa seolah-olah saya telah gagal menjadi seorang suami yang baik untuk awak.” Firash hapus air mata di pipi Hanim. Dia tersenyum kelat.
Hanim angguk dalam sebak.
“Rash... saya nak masuk bilik. Awak boleh tolong papah saya tak?”
Firash tersenyum mendengar permintaan Hanim.
Sure, my wife.” Tidak sampai sesaat, tubuh Hanim telah dicempung laju oleh Firash.
“Rashhh...” terjerit kecil Hanim. Muka yang tadinya beriak sedih terus bertukar rona menjadi merah. Malu.
Dari bawah pokok rambutan sana, mereka dengar suara Zana dan Zara sudah bersorak kuat.
“Alonggg... Romantiknya! Jealous... Jealous...” Zana dan zara sudah menggelupur di situ.
“Ya Allah, apa yang bising-bising sampai ke dalam rumah ni?” Mak Cik Yusni tiba-tiba muncul di jendela rumah. Saat matanya menangkap pandang pada Firash dan Hanim, senyuman di bibirnya mula menguntum lebar. Sekarang baru dia faham apa yang dikecohkan sangat oleh kembar berdua tu.
“Rash... Letak saya dekat bawah balik. Buat malu saja tau! Saya boleh berjalanlah. Minta awak pimpin aje.” Hanim ketap bibir. Muka jangan ceritalah. Rasa macam nak terbakar dah.
“Awak jalan lambat sangat. Apa salahnya saya dukung. Kata nak cipta kenangan indah. Jadi ini sebagai permulaannya...” bisik Firash sambil kenyitkan matanya.
Okey! Hanim rasa macam nak gugur dah jantungnya. Hendak tidak hendak, terpaksalah dia tebalkan muka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan